Wednesday, December 24, 2014

SUDAH PULANG

SAYA sudah kembali ke Malaysia sejak 1 Disember lepas dan sejak itu saya menghabiskan masa saya di rumah dengan makan makan makan, tidur, berehat, tengok wayang berturut-turut, membaca novel, dan tidur tidur tidur. Hanya pada 20 Disember baru saya keluar berjumpa kawan-kawan sebab sebelum itu saya terlampau letih disebabkan proses penulisan tesis dan urusan perpindahan (kemas barang-barang rumah di Melbourne), sehingga tak larat nak berjumpa sesiapa, apatah lagi nak bercakap tentang perjalanan pengajian saya. Tapi sekarang saya sudah okey dan tenaga sudah datang kembali.

Syukur alhamdulillah saya sudah menamatkan pengajian dan penulisan tesis. Sekarang saya dalam mode menunggu keputusan yang akan memakan masa berbulan-bulan. Saya belum melapor diri ke UM kerana perlu  menunggu sehingga senat mengeluarkan surat menyatakan lulus Phd. Sementara menunggu itu bolehlah saya berehat sekejap daripada tugas-tugas akademik dan harus mula menulis karya baru, perkara yang sudah lama saya tinggalkan. Tapi saya (mungkin) akan bertugas juga sebagai pensyarah sambilan di Pusat Kebudayaan UM bermula Februari 2015.

Tapi yang lebih penting daripada ini semua adalah, saya kembali kepada sekumpulan manusia yang saya sayangi, suami dan anak saya Melati, serta ibu bapa dan adik beradik yang saya tahu sering menyebut nama saya dalam doa mereka.

Episod Melbourne sudah saya tutup, tetapi dalam 23 hari pertama kepulangan ini, sesekali saya menoleh ke belakang, terdengar bunyi-bunyi memanggil kenangan saya. Seperti bunyi burung yang mencicip di hadapan pintu rumah di awal pagi musim panas, atau rintik hujan yang menimpa balkoni dan tempiasnya membasahi sliding door setiap hari pada musim winter. Saya juga masih terhidu wangian autumn yang menyeimbangkan perasaan keliru pasca summer sambil menyediakan diri menghadapi depresi winter yang tidak terjangka. Tapi yang paling saya rindukan adalah hembusan spring yang mesra manis, dipayungi matahari yang sering tersenyum mendamaikan, musim yang lebih saya nantikan berbanding yang lain.

Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Melbourne pasti akan saya kunjungi lagi selepas ini tetapi suasana dan emosinya tak akan lagi sama.

Saya telah kembali kepada kehidupan yang lebih saya rindui di tanah air ini. Kembali kepada keluarga yang telah banyak berkorban dan mendoakan saya, kembali kepada sahabat-sahabat yang tidak ada gantinya, dan kembali kepada sebuah ruang, tempat yang seharusnya saya (dan selamanya saya ingin) berada.

I am home. I am fine. Alhamdulillah.

1 comment:

zarina md yusuf said...

Wow...first time to ever comment here Lenn. Alhamdulillah! Lepas ni ku akan jadi pengikut tegar mu di sini. Ndak sabar mau menyaksikan kehebatan mu di atas pentas nanti. 2015 pasti lebih gempak! Woohooo!