Tuesday, February 3, 2015

BOBOLIAN SENI TEATER ETNIK DUSUN

PUNYALAH seronok bercuti sampai tak kemaskini blog langsung. Saya sudah hampir sebulan berada di Ranau, berehat sambil bermuhasabah diri sebelum kembali mengajar tak lama lagi. Apabila seorang kenalan bernama Ismaisham (wink wink) bertanya saya: "kak Lenny dah tak tulis blog lagi ke?", barulah saya tersentak dan kelam-kabut mencari suis laptop. Jadi saya pun ambillah kesempatan ini untuk mempromosi buku saya yang baru saja diterbitkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Sila lihat gambar di bawah. :)


Saya menjalankan penyelidikan ke atas ritual Bobolian ini bermula tahun 2007 hingga 2010 yang asalnya untuk tujuan akademik. Saya sungguh berbesar hati atas peluang penerbitan yang ditawarkan oleh JKKN ini kerana akhirnya ia sampai kepada skop pembaca yang lebih besar. Soalan yang sering ditanyakan pada saya berkenaan tajuk ini adalah: bagaimana pula Bobolian itu dikatakan sebagai sebuah seni teater, sedangkan ia adalah sebuah ritual perubatan? Jadi sudah pasti saya ingin orang yang bertanya itu membaca dulu buku ini, barulah seronok untuk berdiskusi. Dalam sebuah penyelidikan ilmiah semua orang berhak melahirkan argumentasi masing-masing, asal saja kita memahami prinsip perdebatan secara ilmiah. Yang saya suka dengan perdebatan ilmiah adalah, sekiranya kita tidak bersetuju dengan tesis orang lain, maka kita akan lahirkan tesis yang baru. Begitulah cara dunia akademik ini berkembang.

Tetapi harapan saya terhadap buku ini lebih daripada sekadar untuk melayan perdebatan ilmiah. Saya mengharapkan buku ini dapat merintis satu cara baru dalam melihat kedudukan ritual Bobolian serta memperkenalkan nilai-nilai teaterikal yang wujud dalam kalangan masyarakat Dusun di negeri Sabah. Ini juga adalah satu inisiatif saya untuk memberitahu bahawa pengajian teater itu bukan terbatas di atas pentas sahaja. Disiplin teater boleh mengembara jauh ke dalam bidang antropologi malah menyusup masuk ke dalam pelbagai disiplin kajian. Seperti mana bidang lain yang sentiasa bersilang pintas dengan aspek kehidupan manusia, teater juga adalah satu cabang yang tumbuh selari dengan kelahiran tamadun kita.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan buku ini saya berikan dua cara pembelian. Pertama, sila hubungi bahagian Jualan di ibu pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, yang terletak di bangunan Menara TH Perdana bersebelahan Maju Junction di Jalan Sultan Ismail. Nombor telefon mereka adalah 03-2614 8200. Kakitangan mereka akan memberikan panduan bagaimana caranya untuk anda membuat pembelian. Kedua, sekiranya anda rasa cara pertama itu merumitkan anda, bolehlah hubungi saya menerusi email memmie77@yahoo.com dan saya akan meminta anda mendepositkan pembayaran ke dalam akaun bank, menunjukkan screenshot deposit yang telah dibuat, kemudian saya akan mengepos buku itu ke alamat anda. Hanya dua cara itu sahaja yang boleh dilakukan buat masa ini kerana buku ini belum dijual di mana-mana kedai buku. Harga buku adalah RM34.00.

Jumpa dalam entri seterusnya nanti.


3 comments:

amalia fauza bohari said...

Bobolian samakah dgn Bobohizan...?

LENNY ERWAN said...

Yes Melly, sama. Perbezaan ejaan dan sebutan disebabkan perbezaan dialek within suku kaum saja. Konsep ritualnya sama.

amalia fauza bohari said...

Ooo.... I see. Very interesting indeed. Selalu juga ni ku confuse dgn vocabnya, lama2 dapat jugalah mokirayou

Mokirayou -Minta puji
Mamarayou -memuji
Royohon -Dipuji